KUCHING: Bangunan Blok Mill Hill Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph, Kuching yang berusia 139 tahun kini berwajah baru setelah dibaik pulih dengan peruntukan sebanyak RM5.7 juta.
Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berharap dengan siapnya baik pulih bangunan ini, ia akan terus berkhidmat kepada lebih ramai generasi rakyat Sarawak dan melahirkan lebih ramai pemimpin hebat di negeri ini.
“Sememangnya, ini adalah menjadi harapan saya untuk melihat bangunan yang telah dipulihkan dengan indah ini terus berkhidmat kepada lebih ramai generasi rakyat Sarawak dan melahirkan lebih ramai lagi pemimpin hebat yang akan membawa negeri tercinta ini ke tahap baharu kegemilangan di peringkat tempatan dan global.
“Saya ingin menekankan sekali lagi, kepentingan pendidikan dalam pembinaan negara dan saya amat percaya hanya melalui ilmu dan kebijaksanaan bahawa setiap orang boleh diberi kuasa untuk mengawal kehidupan mereka dan memajukan kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian dalam Majlis Perasmian Bangunan Blok Mill Hill di SMK St Joseph, Kuching pada Selasa.
Katanya lagi, SMK St Joseph ini seperti sekolah mubaligh lain di Sarawak mencerminkan keupayaan rakyat negeri ini untuk menghargai dan meraikan perbezaan mereka.
“Itulah keindahan negeri kita yang indah dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk melindungi cara hidup unik ini sebagai rakyat Sarawak.
“Janganlah semua yang berlaku di luar Sarawak yang menimbulkan keresahan dan perpecahan dalam masyarakat menjadi punca kita di Sarawak berpecah belah mengikut garis agama dan kaum,” katanya lagi.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.-EDISI UKAS